Isnin, 8 Julai 2019

CTU555 - SEJARAH MALAYSIA


1.      PENGENALAN
Pendidikan di Malaysia pada hari ini adalah lahir daripada sistem pendidikan yang yang wujud sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu lagi. Pada masa itu, pendidikan di Tanah Melayu adalah tidak formal dan lebih terarah kepada pendidikan bercirikan Islam. Apabila British menjajah Tanah Melayu, sistem pendidikan kita mengalami perubahan dari segi fahaman dan kepentingannya. Pendidikan pada zaman ini tidak membantu penyatuan etnik kerana dikhuatiri akan mengakibatkan penentangan terhadap British. Begitu juga pada zaman penaklukan Jepun, pendidikan di Tanah Melayu tidak mempunyai tujuan untuk memupuk perpaduan kaum tetapi lebih terarah kepada menghormati dan mengenali penjajah.
Aliran pendidikan di Malaysia pada hari ini memperlihatkan kepelbagaian peringkat dalam sistem pendidikan di Malaysia untuk semua lapisan masyarakat. Berbeza dengan pendidikan di zaman penjajahan British di mana masyarakat Melayu agak ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum yang lain. Ini disebabkan pendidikan untuk orang Melayu pada masa itu hanya terhad pada pendidikan rendah sahaja. Pada hari ini, kita dapat melihat bahawa semua kaum berpeluang untuk menikmati pendidikan yang disediakan tanpa diskriminasi. Malah, kepelbagaian aliran pendidikan hari ini terbentuk dari ketidak seragaman sistem pendidikan yang disediakan oleh British.
Walaupun kerajaan telah menyediakan dan memperkenalkan pelbagai jenis pendidikan, terdapat beberapa permasalahan yang perlu dikaji dan diperbaiki. Ini bermakna, dalam sistem pendidikan sekarang terdapat kelebihan dan keburukannya. Melalui kertas kerja ini, kebaikan dan keburukan sekolah aliran kebangsaan akan dibincangkan dengan terperinci.


2.PENDIDIKAN SEBELUM MERDEKA
Sistem pendidikan di Malaysia lazimnya dibahagikan kepada tiga peringkat yang utama (Mok, 2012. hal. 2). Peringkat pertama merangkumi tiga tempoh sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, peringkat kedua bermula dari awal kemerdekaan hingga tahun 2000 dan peringkat ketiga bermula dari tahun 1996 sehingga kini. Kertas kerja ini akan memfokuskan pendidikan sebelum merdeka sahaja, iaitu pada peringkat yang pertama.
2.1.            Tempoh Pertama (1400-1786): Sistem Pendidikan Sebelum Kedatangan British
Sebelum kedatangan British, pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak tertumpu pada perkembangan kognitif pelajar-pelajar. Pendidikan pada masa itu berlandaskan kepada pengajaran kitab suci Al-Quran, seiring dengan penyebaran agama Islam di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu serta Kepulauan Melayu pada abad ke-14. Pendidikan tersebut dijalankan di masjid dan surau oleh imam atau haji. Pelajar-pelajar diajar membaca Al-Quran dan tajwid, tafsir Al-Quran, hadis, fikah dan tauhid.
Bermula pada awal kurun ke-19, sistem pendidikan agama yang lebih kemas dan maju telah diperkenalkan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal di negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah. Institusi yang dikenali sebagai sekolah pondok ini menawarkan pendidikan sepenuh masa serta hujung minggu untuk pelajar dewasa. Sekolah, asrama pelajar dan rumah tuan guru didirikan berhampiran antara satu sama lain dan sering ditemui di kawasan pantai dan sungai. Hafazan merupakan kaedah pembelajaran yang utama khususnya bagi mata pelajaran Al-Quran, Fikah dan Tauhid. Buku-buku rujukan terdiri daripada kitab-kitab Al-Quran, hadis, fikah, tauhid dan tasawuf yang didatangkan dari Mesir dan negara-negara Arab yang lain (Sufean, 2004. hal. 4).
2.2.            Tempoh Kedua (1786-1941): Sistem Pendidikan Semasa Penjajahan Inggeris
Sistem sekolah vernakular di Tanah Melayu hanya mula diperkenalkan pada pertengahan kurun ke-19 apabila kerajaan British mula mengambil perhatian terhadap pendidikan di Negeri-negeri Selat (Mok, 2012. hal. 3). Sistem sekolah vernakular terbahagi kepada:
2.2.1.            Sekolah Vernakular Melayu
Penubuhan sekolah vernakular Melayu bermula pada tahun 1856 di Teluk Belanga dan Kampung Gelam, Singapura. Ini diikuti beberapa buah lagi sekolah didirikan di Pulau Pinang dan Melaka. Pada awalnya, masyarakat Melayu tidak begitu menerima penubuhan sekolah-sekolah ini disebabkan oleh sistem pendidikan sekular yang ditawarkan. Selain itu, kebanyakan ibu bapa pada masa itu berfikiran bahawa anak-anak perlu membantu kerja-kerja di rumah atau menolong mereka bertani tanpa memikirkan kepentingan celik huruf dan pendidikan. Manakala anak-anak perempuan sama sekali tidak dibenarkan bersekolah. Golongan tok guru dan ulama pula berasa profesyen mereka sebagai tenaga pengajar terancam dengan pelaksanaan sistem pendidikan tersebut (Sufean, 2004. hal. 5). Keadaan ini menyebabkan sekolah-sekolah itu ditutup.
A.M. Skinner, Pemangku Majistret di Seberang Prai cuba membuat penambahbaikan dari sistem tersebut dengan mengemukakan cadangan persekolahan dua sesi dalam usaha untuk menarik minat masyarakat Melayu terhadap pendidikan. Berdasarkan rancangannya, sesi pembelajaran di waktu pagi tertumpu pada Bahasa Melayu, Ilmu Hisab, Sejarah, Latihan Jasmani dan Ilmu Alam. Pendidikan asas ini mendapat bantuan penuh dari kerajaan British. Pada sebelah petang pula, pembelajaran tertumpu pada Al-Quran dan Bahasa Arab. Walau bagaimanapun, pembelajaran ini harus dibiayai oleh keluarga pelajar sendiri. Percubaannya mendapat sambutan yang baik di kalangan ibu bapa. Pembelajaran yang dikendalikan dalam Bahasa Melayu ini dihadkan sehingga darjah empat sahaja dengan skop dan kurikulum yang terhad. Oleh sebab itu, pendidikan Melayu tidak dapat berkembang ke peringkat yang lebih tinggi. Pada tahun 1916, R.O. Winstedt telah menambah kurikulum vokasional di sekolah Melayu agar lebih relevan dengan cara hidup masyarakat setempat (Sufean, 2004. hal. 5).
2.2.2.            Sekolah Vernakular Cina
Di Tanah Melayu, sekolah vernakular Cina yang terawal telah dibina di Melaka pada tahun 1816 oleh sekumpulan pendakwah daripada Persatuan Mubaligh London. Ini diikuti oleh Institut Wu Fu di Pulau Pinang pada tahun 1819 dan Institut Cui Ying di Singapura pada tahun 1854. Penubuhan sekolah-sekolah ini bertujuan untuk mengekalkan warisan budaya, bahasa dan identiti bangsa orang Cina yang berada di Tanah Melayu. Begitu juga halnya di Sabah dan Sarawak. Kurikulum sekolah adalah berorientasikan pemikiran di Tanah Besar China. Malah, buku teks dan guru juga didatangkan dari China. Murid-murid di sekolah Cina diajarkan bahan-bahan klasik, secara hafalan, mengira dengan sempoa dan kaligrafi Cina. Kerajaan British pada masa itu mengamalkan dasar terbuka dan tidak campur tangan dalam hal ehwal sosial kaum pendatang menyebabkan sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh masyarakat masing-masing tanpa bantuan daripada British sehinggalah pada tahun 1920-an.
Pergerakan Reformasi di China pada 4hb Mei 1919 telah menyebabkan pengaruh yang besar terhadap sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu. Kurikulum moden yang lebih sistematik berbanding sebelumnya telah diperkenalkan. Jika sebelum itu bahasa pengantarnya adalah dari dialek tempatan seperti Kongfu, Teochew, Hokkien, dan sebagainya tetapi ia telah diselaraskan kepada Bahasa Mandarin. Murid-murid diajar mata pelajaran Sejarah, Geografi, Sains, Matematik, Etika, Lukisan, Pendidikan Jasmani dan Nyanyian. Sistem pendidikannya pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu enam tahun sekolah rendah, tiga tahun Junior Middle dan tiga tahun lagi Senior Middle. Buku teks yang digunakan diolah dengan aspirasi menyatupadukan rakyat Cina yang menetap di luar negeri. Sekolah Cina juga menjadi media penyebaran propaganda anti-kerajaan British dan politik Kuomintang.
Oleh kerana pengaruh ideologi Kerajaan Cina begitu kuat disebarkan di sekolah-sekolah Cina di Tanah Melayu, maka pihak British telah mengambil langkah untuk menukar polisi liberal dengan menguatkuasakan Ordinan Pendaftaran Sekolah pada tahun 1920. Ia bertujuan mengawal perjalanan dan penubuhan sekolah Cina. Pemerintah British juga memberikan bantuan kewangan bersyarat agar mereka boleh mencampuri urusan pentadbiran sekolah (Sufean, 2004. hal. 6). Berdasarkan syarat tersebut, bahasa pengantar haruslah menggunakan dialek tempatan. Langkah mengetatkan pengawalan ke atas sekolah Cina dilakukan sehingga Perang Dunia Kedua oleh Jabatan Pendidikan Kerajaan British. Walaupun Ordinan Pendaftaran Sekolah telah dikuatkuasakan, ia tidak menghalang perkembangan sekolah Cina seperti yang diharapkan. Menjelang Perang Dunia Kedua, sistem pendidikan Cina di Tanah Melayu menjangkau ke peringkat sekolah menengah hingga tingkatan enam. Malahan, British telah mengiktiraf Bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar rasmi di sekolah Cina (Mok, 2012. hal. 5).
2.2.3.            Sekolah Vernakular Tamil
Seperti sekolah vernakular Melayu dan Cina, sekolah vernakular Tamil turut bermula di Negeri-negeri Selat. Penang Free School merupakan sekolah vernakular Tamil yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu pada tahun 1816 diikuti Anglo-Tamil di Melaka pada tahun 1850. Bilangan pelajar-pelajar yang berdaftar di sekolah-sekolah vernakular Tamil pada masa itu adalah rendah sekali. Ini merupakan salah satu punca mengapa sekolah Anglo-Tamil ditutup pada tahun 1860. Sekolah-sekolah ini juga hanya bergantung pada dana dari majikan ibu bapa pelajar atau usaha dari persatuan mubaligh (Sufean, 2004. hal. 4). Kemudahan sekolah Tamil dari segi infrastruktur, buku teks dan tenaga pengajar juga kurang memuaskan. Malah, masyarakat India juga tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan pendidikan untuk anak-anak. Ada juga di antara mereka lebih tertarik dengan sistem pendidikan sekolah Inggeris di bandar berbanding dengan sistem sekolah vernakular Tamil.
Kepesatan ekonomi di Tanah Melayu pada awal kurun ke 20 menyebabkan lebih banyak tenaga buruh dari India diperlukan. Justeru itu, British bertindak untuk menukar polisi pendidikannya pada tahun 1902 dengan menguatkuasakan Kod Buruh. Setiap ladang yang mempunyai lebih daripada sepuluh kanak-kanak India pada umur 7 hingga 14 tahun dikehendaki untuk menyediakan sekolah Tamil. Bantuan kewangan turut disalurkan kepada sekolah yang menunjukkan pretasi yang memuaskan disamping penubuhan beberapa buah lagi sekolah Tamil di bandar untuk anak-anak kepada pekerja-pekerja di Jabatan Kerja Raya dan perkhidmatan kereta api. Kurikulum sekolah Tamil disesuaikan mengikut negara India. Kandungan kurikulumnya menegaskan pengetahuan dalam kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis; menulis karangan, Ilmu Alam dan Kebersihan Diri. Buku teks dan kebanyakan tenaga pengajar juga dibawa masuk dari India. Seperti sekolah Melayu, sistem pendidikan sekolah Tamil juga terhad pada peringkat rendah sahaja.
2.2.4.            Sekolah Inggeris
Kebanyakan sekolah Inggeris yang dibina pada peringkat awal adalah dari hasil usaha mubaligh Kristian yang datang ke Tanah Melayu. Pendidikan Inggeris mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada 1816 melalui penubuhan Penang Free School di bawah rancangan dan bantuan kewangan kerajaan British (Abdullah, 2003. hal. 5). Penubuhan Penang Free School telah mendorong negeri-negeri lain untuk menubuhkan sekolah Inggeris yang serupa. Asalnya, British tidak mahu memberikan pendidikan Inggeris secara intensif kepada masyarakat Melayu dan pendatang kerana bimbangkan tentang kesedaran politik yang akan dibangkitkan oleh golongan yang berpendidikan Inggeris.
Pada tahun 1905, kerajaan British telah menubuhkan pendidikan Inggeris untuk anak-anak kenamaan Melayu yang dikenali sebagai Maktab Melayu Kuala Kangsar. Tujuan utama sekolah ini ditubuhkan adalah untuk melahirkan tenaga pekerja untuk memenuhi keperluan kuasa metropolitan British dan mengekalkan elitisme di kalangan bangsawan Melayu. Penubuhan maktab ini memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu golongan bawahan agar turut sama mendapatkan pendidikan Inggeris.  Namun, pada 1930-an, pihak British mula membenarkan anak-anak Melayu memasuki sekolah-sekolah Inggeris kerajaan melalui sistem Special Malay Class. Hanya mereka yang lulus peperiksaan Darjah 4 sahaja terpilih untuk belajar di Special Malay Class selama dua tahun sebelum layak memasuki ke tahun empat sekolah Inggeris. Kebanyakan sekolah ini didirikan di kawasan bandar, jadi tidak ramai anak-anak Melayu yang dapat belajar di sekolah tersebut. Kemudahan yang disediakan juga lebih bermutu jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah vernakular yang lain.
Sekolah-sekolah Inggeris ini menggunakan bahasa pengantar dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya dengan menggunakan kurikulum Grammar School of Great Britain. Sekolah Inggeris mempunyai ciri pendidikan seperti sekolah di England iaitu peringkat rendah dan menengah, meliputi Kelas Bawah Satu, Dua dan Darjah Satu; Rendah Pertengahan dari Darjah Dua hingga Darjah Lima dan Menengah dari Darjah Enam hingga Kelas Sijil Sekolah (School Certificate). Kurikulum di sekolah Inggeris mementingkan akademik dan persediaan untuk peperiksaan Cambridge Overseas School Certificate (Sufean, 2004). Mata pelajaran yang diajarkan kepada murid adalah Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah Eropah, Ilmu Alam, Sains, Sastera Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Lukisan. Seterusnya, pelajar–pelajar yang lulus berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah di luar negara. Namun begitu, bilangan pelajar yang belajar di sekolah Inggeris agak kurang jika dibandingkan dengan bilangan pelajar di sekolah-sekolah vernakular yang lain.
2.2.5.            Sekolah Agama Madrasah
Pada awal kurun ke-20, sistem pendidikan Madrasah mula diperkenalkan oleh alim ulama yang terdiri daripada Kaum Muda di Pantai Timur. Madrasah merupakan sekolah agama moden yang lebih maju daripada sekolah pondok (Mok, 2012. hal. 4). Golongan tokoh-tokoh agama ini telah berusaha membina sekolah di merata-rata tempat di Tanah Melayu. Madrasah pertama yang ditubuhkan oleh Kaum Muda ialah Madrasah al-Iqbal pada tahun 1907 di Singapura, diikuti Sekolah al-Hadi di Melaka pada tahun 1917 dan Madrasah al-Mashoor di Pulau Pinang pada tahun 1919. Perkembangan pesat madrasah-madrasah ini memberi keyakinan kepada masyarakat Melayu bahawa kedudukan agama Islam masih mantap walaupun menghadapi persaingan dari sekolah vernakular Melayu dan sekolah Inggeris yang didirikan oleh penjajah British pada kurun ke-19.
Sukatan pelajaran di sekolah madrasah adalah lebih tersusun jika dibandingkan dengan sistem pendidikan di sekolah pondok sebelum kedatangan British. Kandungan pelajarannya menyentuh konteks keduniaan dan akhirat dilihat boleh menandingi sekolah vernakular Melayu dan sekolah Inggeris. Antara mata pelajaran yang diajarkan sebelum Perang Dunia Kedua adalah Ilmu Tauhid, Tajwid, Fikah, Insyak, Adab, Nahwi, Sarf, Ilmu Hisab, Ilmu Tafsir, Ilmu Imlak dan berbagai-bagai lagi. Namun, pendidikan Madrasah masih tidak boleh mengubah mobiliti masyarakat Melayu kerana kurikulum di madrasah kurang memberi penekanan kepada mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
2.3.            Tempoh Ketiga (1941-1956): Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka
2.3.1.      Pendidikan Zaman Jepun
Semasa Perang Dunia Kedua (1941-1945), hampir seluruh rantau di Asia Tenggara telah diduduki oleh tentera Jepun. Perkembangan ini memberi perubahan kepada sistem pendidikan di Semenanjung Malaysia (Abdullah, 2003. hal. 7). Sekolah-sekolah vernakular Melayu dan Tamil diteruskan seperti sebelummnya dengan penambahan mata pelajaran Bahasa Jepun dalam kurikulum dan berorientasikan negeri Jepun. Pemerintah Jepun turut menubuhkan sekolah Nippon-Go bagi menggantikan sekolah vernakular Cina dan sekolah Inggeris. Pengajaran Nippon-Go, lagu rakyat Jepun dan kebudayaan Jepun diberikan penekanan khusus dalam kurikulum sekolah rendah. Manakala pendidikan menengah dibubarkan dan diganti dengan pelajaran vokasional dan teknik dalam bidang perikanan, pengajian telekomunikasi, maritim dan pembinaan. Kelas-kelas Bahasa Jepun untuk dewasa juga diadakan di beberapa tempat seperti kelab dan persatuan. Menurut Abdullah Sani Yahaya (2003. hal. 8), pendidikan pada masa itu tidak mempunyai suatu falsafah yang konkrit bagi tujuan perpaduan rakyat dan membentuk identiti kebangsaan.
2.3.2.      Perkembangan Pendidikan Selepas Perang Dunia Kedua
Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada 1945, Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan British. Perkembangan politik serantau seperti di Cina, India, Indonesia dan Filipina selepas tamat Perang Dunia Kedua telah mengubah pandangan dan sikap masyarakat pendatang di Tanah Melayu. Kependudukan orang Cina dan India serta keinginan mereka untuk bermastautin di Tanah Melayu dan kebangkitan nasionalisme Orang Melayu tentang kepentingan pendidikan moden dan sekular bagi meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosial mereka. Mereka juga sedar bahawa untuk terus menjadi golongan dominan dalam politik, sosial dan ekonomi, pendidikan merupakan kunci utamanya.
Laporan Barnes
Sekembalinya British ke Tanah Melayu, orang Melayu mula mendesak agar memperbaiki mutu pendidikan di sekolah-sekolah Melayu serta memperluaskan peluang-peluang pendidikan. Pada tahun 1950, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J. Barnes telah ditugaskan untuk menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan untuk kaum Melayu (Sufean, 2004). Laporan yang dikenali sebagai Laporan Barnes (1951) atau Laporan Jawatankuasa Mengenai Pendidikan Melayu menyatakan bahawa untuk memajukan pendidikan orang Melayu, seluruh sistem pendidikan perlu dirombak semula. Antaranya:
·         Matlamat pendidikan dasar hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang berasaskan pelbagai kaum
·         Sekolah-sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil hendaklah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan
·         Sekolah kebangsaan hanya menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan salah satunya akan digunakan secara meluas sebagai bahasa kedua
·         Sekolah kebangsaan hendaklah menyediakan pendidikan dasar percuma kepada kanak-kanak yang berumur enam tahun ke atas selama enam tahun
·         Setelah tamat pendidikan dasar, murid-murid akan meneruskan pelajaran pada peringkat menengah dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya
·         Sekolah kebangsaan harus ditadbir dan dibiayai bersama oleh Penguasa Pelajaran Setempat (Local Education Authority) dan kerajaan
Laporan Fenn-Wu
Cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Barnes mendapat tentangan hebat daripada masayarakat yang lain khususnya masyarakat Cina yang berpendapat bahawa laporan itu merupakan suatu percubaan untuk membekukan dan menghapuskan bahasa dan kebudayaan mereka. Oleh itu, Henry Gurney telah melantik sebuah jawatankuasa untuk mengkaji masalah pendidikan Cina pada tahun 1951. Dua orang penasihat terdiri daripada Dr. W.P. Fenn (pegawai di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dan Dr. Wu Teh Yau (setiausaha Kerja Bersekutu kepada Lembaga Amanah bagi beberapa buah universiti di China) mengetuai jawatankuasa ini. Laporan jawatankuasa ini atau lebih dikenali sebagai Laporan Fenn-Wu berpendapat (Sufean, 2004. hal. 25):
·         Walaupun Bahasa Melayu hendak dijadikan Bahasa rasmi dan bahasa rasmi dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, namun orang Cina perlu diberi peluang untuk membentuk kebudayaan negara
·         Galakan hendaklah diberikan kepada orang cina untuk menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
·         Dasar Pendidikan Tanah Melayu hendaklah disalurkan kepada matlamat membentuk kewaganegaraan Tanah Melayu
·         Dasar sekolah hendaklah menyediakan kanak-kanak untuk menenpuh segala bidang kehidupan berdasarkan latar belakang kehidupan masyarakat Tanah Melayu.
Ordinan Pelajaran 1952
Memandangkan terdapat perbezaan pendapat yang dikemukan hasil dari Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu, sebuah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk mengkaji kedua-dua laporan tersebut. Jawatankuasa Khas ini mencadangkan (Mok, 2012. hal. 34):
·         Penubuhan dua jenis sistem persekolahan, satu jenis sekolah dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya, dan satu jenis sekolah lain yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya
·         Kemudahan pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil akan diberikan jika ada permintaan daripada ibu bapa atau penjaga, dan sekurang-kurangnya terdapat 15 orang murid yang ingin belajar bahasa ibunda mereka
·         Bahasa Inggeris akan menjadi pelajaran wajib bagi sekolah Melayu dan Bahasa Melayu akan menjadi pelajaran wajib di sekolah Inggeris
Selepas laporan Jawatankuasa Khas ini dibentangkan di Majlis Perundangan Persekutuan, maka Ordinan Pelajaran 1952 diluluskan pada September 1951. Namun, terdapat pelbagai halangan dan masalah dalam pelaksanaan Ordinan Pelajaran 1952. Justeru itu, sebuah Jawatankuasa Khas sekali lagi dilantik untuk memperbaiki polisi tersebut. Antara cadangan-cadangannya adalah:
·         Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular Melayu dan penggunaan tiga bahasa bagi sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil supaya sekolah ini dapat diserapkan ke dalam sistem persekolahan kebangsaan
·         Mengehadkan kadar kemasukan murid-murid ke aliran sekolah jenis kebangsaan Inggeris
·         Penubuhan pendidikan vokasional
Laporan Woodhead dan Laporan McLellan
Menurut Abdullah Sani Yahaya (2003. hal. 11), kesedaran tentang kepentingan pendidikan turut menular di Sabah dan Sarawak. Jawatankuasa Woodhead yang dibentuk pada tahun 1955 mencadangkan keperluan bagi memperkukuhkan dang menggabungkan sistem pendidikan dengan tujuan memupuk suatu kerakyatan dalam lingkungan Komanwel British. Di Sarawak pula, Laporan McLellan (1960) menekankan mustahaknya mengawal sekolah-sekolah vernakular dan menggunakan bahasa tunggal bagi memupuk semangat dan identiti kebangsaan bagi mencapai perpaduan rakyat.
Laporan Razak 1956
Setelah Parti Perikatan diisytiharkan menang pada 1951, sebuah Jawatankuasa Pendidikan yang dipengerusikan oleh Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein telah ditubuhkan bagi mengkaji dan menggubal dasar pendidikan negara. Menurut Mok Soon Sang (2012. hal. 35), antara tujuannya adalah:
·         Mengkaji Dasar Pendidikan Persekutuan Tanah Melayu yang ada dan mengusuklan sebarang pindaan atau penyesuaian yang perlu untuk membina sistem pendidikan kebangsaan yang dapat diterima oleh rakyat Persekutuan pada keseluruhannya, serta memenuhi keperluan-keperluan mereka dengan memperkembang kebudayaan, kemasyarakatan, ekonomi dan politik mereka sebagai satu bangsa
·         mengkaji Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sambil menjamin perkembangan bahasa dan kebudayaan kaum-kaum yang lain di negara ini
·         mengkaji Sistem Pendidikan Persekutuan, termasuk Ordinan Pelajaran 1952, agar peruntukan-peruntukan dipinda atau disesuaikan sekiranya perlu, serta langkah-langkah pelaksanaan yang terkandung dalam Majlis No. 67, 1954 tentang dasar pendidikan.
Berikutan itu, sebuah laporan telah dikemukakan oleh jawatankuasa terbabit pada April 1956 yang dikenali sebagai Laporan Razak. Laporan ini mencadangkan:
·         Keempat-empat sistem persekolahan dalam peringkat sekolah rendah akan terus diadakan; kurikulumnya akan dipinda dan disesuaikan dengan menyerapkan unsur-unsur kebangsaan ke dalamnya
·         Meminda sekolah-sekolah yang sedia ada kepada sekolah-sekolah umum dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang boleh memilih bahasa pengantar masing-masing
·         Menjadikan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib di semua sekolah
·         Murid-murid Cina dan India boleh mempeajari bahasa ibunda masing-masing di sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris), jika terdapat permintaan daripada ibu bapa  dan mempunyai bilangan murid sekurang-kurangnya lima belas orang
·         Penubuhan suatu jenis sekolah menengah kebangsaan terbuka secara saingan kepada semua bangsa, menggunakan sukatan pelajaran yang seragam untuk semua aliran, suatu kurikulum pelajaran yang boleh diubahsuai bagi membenarkan pengajaran semua bahasa dan kebudayaan Tanah Melayu serta mempunyai ruang bagi pelbagai bahasa menjadi bahasa pengantar. Semua sekolah harus berorientasikan ke arah Tanah Melayu kandungan sukatan pelajaran dan jadual waktu yang sama
·         Sekolah-sekolah ini akan dikelolakan oleh Penguasa Pelajaran Tempatan bersama-sama dengan Jemaah Pengurus Sekolah Rendah atau Lembaga Pengelola Sekolah Menengah
·         Mengambil langkah-langkah bagi memupuk perkembangan bahasa kebangsaan dan mempertingkatkan pengetahuan di kalangan penduduk di Persekutuan Tanah Melayu. Perhatikan peringkat-peringkat persekolahan di tanah Melayu pada tahun 1956
·         Pendidikan menengah dibahagikan kepada menengah rendah, menengah atas dan prauniversiti
·         Untuk memasuki sekolah menengah rendah, murid-murid dikehendaki lulus dalam Peperiksaan Masuk Sekolah Menengah. Murid-murid di sekolah menengah rendah boleh memasuki sekolah menengah atas jika mereka telah mendapat Sijil Rendah Pelajaran, dengan gred yang baik. Kemudian, murid-murid boleh menduduki peperiksaan Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf dengan Cambridge Overseas Certificate. Murid-murid yang Berjaya boleh masuk Tingkatan Enam selama dua tahun untuk mendapatkan Sijil Tinggi Persekolahan yang merupakan syarat bagi memasuki universiti
·         Semua guru dicadangkan diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional
·         Penubuhan Jemaah Nazir Persekutuan untuk memelihara mutu pelajaran
Ternyata, Laporan Razak 1956 boleh dianggap sebagai permulaan bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan di negara ini. Cadangan-cadangan Laporan Razak 1956 dilaksanakan dalam program-program dan projek-projek pendidikan bagi memeupuk semangat dan identiti kebangsaan di kalangan masyarakat berbilang kaum serta melahirkan tenaga mahir bagi mencapai pembangunan negara.
3.      ALIRAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Pendidikan di Malaysia terdiri daripada empat peringkat iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menegah, dan pengajian tinggi. Sistem pendidikan di Malaysia diselia oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi dasar yang berkenaan dengan pengajian tinggi diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
3.1.            Pendidikan Prasekolah
Pendidikan prasekolah merupakan satu program pembelajaran untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Tujuan pendidikan prasekolah ini diadakan adalah untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.
3.2.            Pendidikan Rendah
Pendidikan rendah bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6 melibatkan kanak-kanak yang berumur 7 hingga 12 tahun. Pendidikan sekolah rendah merupakan kesinambungan kepada pendidikan prasekolah. Sekolah rendah awam di Malaysia terdiri daripada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Selain daripada membaca dan mengira, mereka akan didedahkan kepada subjek-subjek lain seperti Sains, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Islam dan Moral. Pada penghujung pengajian mereka pada Tahun 6, mereka akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
3.3.            Pendidikan Menengah
Selepas menduduki UPSR, murid-murid berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. Pendidikan menengah dibahagikan kepada Pendidikan Menengah Rendah untuk para pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dan Pendidikan Menengah Atas untuk para pelajar Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5. Pendidikan menengah di bawah sekolah kerajaan terdiri daripada sekolah akademik, sekolah teknik dan vokasional serta sekolah kebangsaan agama. Bagi para pelajar menengah rendah, mereka dikehendaki menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada akhir Tingkatan 3. Berdasarkan pentaksiran ini, mereka akan dikategorikan kepada aliran sastera, sains, agama, teknikal, vokasional dan kemahiran. Pelajar-pelajar di peringkat menengah atas pula perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menamatkan pelajaran menengah atas.
Bagi para pelajar yang tamat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, mereka berpeluang belajar di Sekolah Tinggi Persendirian Cina (Mohd Firdaus, 2012. hal. 11). Para pelajar dikehendaki mengambil peperiksaan yang dikenali sebagai Unified Examination Certificate (UEC) yang terbahagi kepada Vokasional (UEC-V), Junior (UEC-JML/JUEC) dan Senior (UEC-SML/SUEC). Para pelajar di sekolah ini bermula dari tiga tahap rendah sehingga ke tiga tahap tinggi. Pada akhir Junior 3, mereka perlu menduduki peperiksaan UEC-JML atau menduduki PT3. Mereka juga akan dikategorikan kepada aliran Sains dan aliran Perdagangan/Sastera bermula Senior 1. Pada akhir Senior 2, sesetengah pelajar akan menduduki SPM sebagai calon persendirian. Selepas itu, mereka boleh memilih untuk menyambung Senior 3 atau tidak. Pada akhir Senior 3, mereka akan menduduki peperiksaan UEC-SML.
3.4.            Pendidikan Prauniversiti
Selepas SPM, para pelajar boleh memilih sama ada untuk menyambung pelajaran dalam Tingkatan 6, matrikulasi, atau pengajian diploma. Pengajian di Tingkatan 6 terbahagi kepada Tingkatan 6 Rendah dan Tingkatan 6 Atas. Pada akhir pengajian, para pelajar akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Manakala pengajian matrikulasi pula merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan SPM untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta (Mohd Firdaus, 2012. hal. 11). Para pelajar juga boleh memilih untuk melanjutkan pendidikan prauniversiti di kolej persendirian yang menawarkan diploma, A-Level, Program Matrikulasi Kanada atau kursus yang sama dengan negara lain.
3.5.            Pengajian Tinggi
Pendidikan pengajian tinggi dibentuk untuk melahirkan golongan teknorat bagi melaksanakan rancangan pembangunan negara dan golongan birokrat bagi mentadbir organisasi dan masyarakat. Untuk memasuki pengajian tinggi, pemohon memerlukan kelayakan STPM atau matrikulasi. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia merupakan badan yang bertanggungjawab mengawasi pendidikan pengajian tinggi.
4.      KEBAIKAN DAN KEBURUKAN SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN
Sistem persekolahan di Malaysia yang wujud dari sebelum merdeka sehingga kini memperlihatkan kepelbagaian aliran dan kurang keberkesanannya dalam membentuk satu sistem pendidikan yang seragam. Banyak isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan sistem pendidikan kebangsaan. Antara jenis sekolah berserta kebaikan dan keburukannya adalah:
4.1.            Sekolah Kebangsaan
Sekolah kebangsaan merupakan salah satu jenis sekolah rendah di Malaysia. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan merupakah salah satu strategi kerajaan untuk mengintegrasikan pelajar sekolah rendah di negara ini. Strategi ini terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) yang dilancarkan pada Mac 2006.
Kebaikan Sekolah Kebangsaan
i)                    Memartabatkan Bahasa Melayu
Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah aliran kebangsaan memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri. Ini selaras dengan Perkara 152 yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia mengenai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sebagai perbandingan, Indonesia juga menggunakan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan mereka. Hasilnya, masyarakat mereka yang berbilang kaum menjadi fasih berbahasa Indonesia. Nyata sekali, untuk memartabatkan sesuatu bahasa, ia bermula dari sistem pendidikan. Hanya sekolah aliran kebangsaan dilihat dapat memartabatkan bahasa kita sendiri.
ii)                  Memupuk perpaduan
Sejak sebelum merdeka, para pemimpin berhasrat untuk menubuhkan sekolah kebangsaan sebagai wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum seperti yang telah dinyatakan dalam Penyata Razak 1956 dan menjadi cabaran negara dalam usaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Sekolah satu aliran dilihat sebagai reformasi pendidikan yang harus diperjuangkan bagi mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional selaras dengan matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan. Justeru itu, para pelajar dapat dilatih hidup saling bekerjasama, mempunyai semangat patriotisme serta toleransi yang tinggi selaras dengan aspirasi nasional. Berdasarkan rencana Sinar Harian (2015), proses pembentukan negara bangsa bukanlah suatu tempoh yang singkat dan hanya melalui pendidikan, anak-anak dapat diasuh sejak kecil dalam kerangka acuan bangsa Malaysia.
iii)                Memupuk identiti nasional
Selain bahasa, makanan, pakaian atau agama, pendidikan di Malaysia boleh diketengahkan menjadi identiti nasional yang berkesan dalam usaha mengintegrasikan penduduk yang bersifat heterogenus ini. Sistem pendidikan satu aliran membantu integrasi kaum seawal peringkat kanak-kanak, sekali gus mewujudkan masyarakat yang harmoni dan berdaya saing. Perhubungan antara kaum ini boleh berlaku tanpa dipaksa. Kepelbagaian aliran yang diamalkan dalam sistem pendidikan di Malaysia menyebabkan identiti nasional kurang diterapkan dalam diri masarakat terutama kanak-kanak. Jadi, penubuhan sekolah kebangsaan menjadi jalan penyelesaian kepada permasalahan ini.
iv)                Keseragaman Kurikulum Pelajar
Di sekolah kebangsaan, segala bahan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dapat diselaraskan dalam satu kurikulum yang sama. Tiada lagi jurang akademik di antara para pelajar disebabkan sekolah pelbagai aliran. Mereka akan menggunakan sukatan pelajaran, buku teks, jadual waktu dan menduduki peperiksaan yang diselaraskan secara berpusat.
v)                  Mengekalkan bahasa ibunda etnik minoriti
Pengenalan bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai mata pelajaran elektif dalam kurikulum formal sekolah kebangsaan  dapat mengatasi sistem Pupil’s Own Language (POL) yang tidak mendatangkan impak yang diharapkan terhadap pemerolehan bahasa Cina dan bahasa Tamil. Peruntukan sehingga 12 waktu P&P bahasa Cina dan bahasa Tamil di sekolah kebangsaan adalah setara dengan peruntukan waktu kedua-dua jenis mata pelajaran ini di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil). Malah, para pelajar dari etnik majoriti berpeluang untuk mempelajari bahasa kedua dan begitu juga sebaliknya.
Keburukan Sekolah Kebangsaan
i)                    Sistem pendidikan nasional masih lagi ketinggalan
Berbanding dengan sekolah jenis kebangsaan, kurikulum sekolah kebangsaan masih lagi berada di takuk lama. Justeru itu, sistem pendidikan nasional dianggap ketinggalan dan tiada pembaharuan. Sebagai contoh, kecemerlangan pelajar-pelajar yang bersekolah di sekolah aliran Cina tidak dapat disangkal lagi dan sering menandingi pelajar-pelajar sekolah kebangsaan. Malahan, guru-guru di sekolah jenis kebangsaan Cina juga lebih kreatif dalam pengajaran mereka. Mereka tidak hanya bergantung kepada sukatan pelajaran dan pekeliling daripada Kementerian Pendidikan semata-mata. Di sekolah kebangsaan pula, bilangan guru yang berkemahiran dalam Bahasa Inggeris dan Matematik masih lagi berkurangan.
ii)                  Prasarana dan kemudahan yang tidak memuaskan
Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sehingga kini, masih terdapat sekolah kebangsaan yang mempunyai prasarana kurang memuaskan, terutama di kawasan pendalaman. Misalnya, daripada 5,761 sekolah rendah, 1,642 merupakan sekolah kurang murid dan kebanyakannya adalah lama dan daif. Ini tidak termasuk 1,513 buah sekolah tidak mempunyai bekalan air awam, 767 buah tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan 1,639 buah masih belum mepunyai makmal komputer.
iii)                Pengaruh fahaman agama
Keputusan masyarakat Cina dan India untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan adalah didorong oleh kebimbangan sekiranya fahamam agama asal mereka dilupakan disebabkan pembudayaan sekolah kebangsaan yang sering menerapkan elemen-elemen Islam. Manakala, masyarakat Melayu pula menyatakan sebaliknya. Selain itu, mereka juga bimbang jika anak-anak mereka akan terpengaruh dengan adat resam etnik majoriti. Berkemungkinan juga, ibu bapa pelajar bukan Islam ingin menuntut hak yang sama dengan masyarakat Islam seperti jika para pelajar Islam beribadat di surau, para pelajar bukan Islam juga turut menuntut tempat dan waktu untuk mereka beribadat.
4.2.            Sekolah Jenis Kebangsaan
Menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar, sekolah jenis kebangsaan merupakan salah satu jenis sekolah rendah di Malaysia. Dari tahun 1995 hingga 2000, pengagihan Rancangan Malaysia Ketujuh membahagikan 96.5 peratus kepada Sekolah Kebangsaan yang mempunyai 75 peratus daripada pelajar sekolah rendah. 21 peratus pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina mendapat 2.4 peratus daripada pengagihan manakala 3.6 peratus daripadapelajar sekolah jenis kebangsaan Tamil mendapat 1 peratus daripada pengagihan.
Kebaikan Sekolah Jenis Kebangsaan
i)                    Kurikulum yang lebih berkualiti
Kebanyakan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak untuk belajar di sekolah jenis kebangsaan kerana mempercayai keberkesanan dan kualiti kurikulum yang dapat membantu meningkatkan kecemerlangan anak-anak mereka. Sebagai contoh, ramai ibu bapa Melayu mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran cina kerana sistem dan budaya persekolahan di sekolah Cina yang lebih teratur dan mengikut perkembangan semasa. Bahkan, di sekolah Cina, mata pelajaran Sains dan Matematik diberi lebih penekanan bagi memastikan kecemerlangan pelajarnya. Malahan, guru-guru di sekolah jenis kebangsaan Cina juga lebih kreatif dalam pengajaran mereka. Mereka tidak hanya bergantung kepada sukatan pelajaran dan pekeliling daripada Kementerian Pendidikan semata-mata.
ii)                  Memartabatkan budaya etnik minoriti
Sebelum merdeka, sekolah-sekolah vernakular ditubuhkan bertujuan untuk mengekalkan warisan budaya, bahasa dan identiti bangsa etnik minoriti di Tanah Melayu. Begitu juga dengan penubuhan sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini. Melalui sistem pembelajarannya yang menggunakan bahasa ibunda sebagai pengantar, para pelajar dapat memperbaharui dan meningkatkan kemahiran mereka berkomunikasi dalam bahasa masing-masing. Selain itu, para pelajar juga digalakkan untuk mempraktikkan warisan budaya mereka dalam upacara-upacara rasmi di sekolah ataupun dalam aktiviti harian mereka.
Keburukan Sekolah Jenis Kebangsaan
i)                    Kurangnya penekanan terhadap Bahasa Melayu
Di sekolah-sekolah jenis kebangsaan, penggunaan bahasa etnik sebagai bahasa pengantar dilihat tidak dapat memaksimakan kemahiran penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar etnik lain. Walaupun Bahasa Melayu diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah, keadaan ini tidak dapat mengurangkan jurang perbezaan dalam pengusaan Bahasa Melayu di kalangan para pelajar. Berkemungkinan mereka diselubungi perasaan malu ataupun takut ditertawakan oleh rakan-rakan kerana tidak fasih Berbahasa Melayu. Situasi ini amatlah merugikan pelajar kerana masalah komunikasi telah menjadi penghalang bagi mereka untuk berkomunikasi seterusnya bertukar-tukar idea dan pandangan.
ii)                  Perpaduan kaum tidak dapat dicapai
Sekolah adalah tempat terbaik untuk memulakan hubungan integrasi. Apabila kanak-kanak sudah terdedah dan biasa dengan pergaulan antara berbilang kaum di sekolah, mereka tidak lagi mengalami kejutan apabila memasuki alam pekerjaan dan bermasyarakat. Berbeza dengan para pelajar yang bersekolah di sekolah jenis kebangsaan, mereka tidak dapat mengenali kaum-kaum lain dan perbezaan budaya yang ada. Mereka dibatasi dengan tembok perkauman. Jika pengasingan pendidikan mengikut kaum ini berterusan, ia akan menghasilkan masyarakat yang terpisah di antara satu sama lain, mengakibatkan satu suasana segrasi dengan memiliki bibit perpecahan yang berbahaya. Keadaan ini tidak dapat mewujudkan perpaduan walhal perpaduan boleh dipupuk di zaman persekolahan para pelajar.
4.3.            Sekolah Wawasan
Sekolah wawasan adalah sekolah-sekolah awam yang terdiri dari dua atau tiga buah sekolah berlainan aliran yang berkongsi kemudahan di dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Penubuhan sekolah wawasan adalah untuk mengalakkan interaksi yang lebih rapat antara kaum. Akan tetapi, kebanyakan orang Cina dan orang India membantah sekolah wawasan kerana mereka percaya bahawa sekolah wawasan akan mengehadkan penggunaan bahasa ibunda mereka di sekolah.
Kebaikan Sekolah Wawasan
i)                    Melahirkan interaksi positif
Melalui sekolah wawasan, peluang kepada para pentadbir, guru-guru dan kakitangan sokongan dari setiap sekolah untuk berinteraksi dengan lebih kerap, berkongsi dan bertukar-tukar pendapat, pengalaman dan cadangan dapat dicapai demi kemajuan sekolah masing-masing. Mereka juga berkesempatan untuk mengkonkritkan semangat permuafakatan melalui pembinaan projek-projek guna sama. Malahan, masyarakat sekitar yang lebih harmonis dapat dilahirkan melalui hubungan mesra ibu bapa yang kerap bertemu di kawasan sekolah semasa menghantar atau mengambil pulang anak masing-masing, atau pun semasa menjalankan aktiviti-aktiviti bersama seperti gotong royong dan sebagainya.
ii)                  Memupuk semangat patriotik
Kewujudan sekolah ini boleh memupuk semangat patriotik para pelajar seawal dari pendidikan rendah. Ia boleh diterapkan melalui pengalaman yang ditempuh para pelajar setiap hari seperti menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama semasa perhimpunan, bacaan ikrar dalam acara rasmi sekolah, mengibarkan jalur gemilang dalam sambutan kemerdekaan dan sebagainya. Bahkan, warga setiap sekolah berpeluang untuk bergaul, membudayakan sikap bertolak ansur, kerjasama, bertimbang-rasa, hormat-menghormati dan bantu-membantu di antara satu sama lain dalam situasi sebenarnya. Pengalaman tersebut akan mewujudkan semangat kekitaan di kalangan mereka dan rasa bertanggungjawab terhadap negara. Kesedaran inilah yang akan memupuk semangat patriotik dan cinta mereka terhadap negara. 
iii)                Penyeragaman kurikulum
Sistem pendidikan sekolah wawasan bertujuan untuk menyatukan sekolah yang sebelum ini mengasingkan kurikulum mengikut aliran sekolah itu sendiri. Penyeragaman kurikulum boleh memastikan agar nilai yang sama disemai dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Selain itu, pembelajaran kurikulum yang sama juga berupaya untuk mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan pelajar dari aspek akademik demi melahirkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan. Para guru juga berupaya untuk berkongsi kemahiran pengajaran sesama mereka dan berkongsi kemudahan peralatan P&P yang sama.
Keburukan Sekolah Wawasan
i)                    Mewujudkan anasir-anasir negatif
Pengumpulan pelajar secara pemusatan akan menemukan kepelbagaian dalam budaya, agama, ras, sosial dan ekonomi setiap ahli sekolah berkenaan. Sekiranya faktor ini tidak diimbangi dengan betul, wujud kecenderungan pelajar melakukan sesuatu di luar jangkaan. Dengan jumlah pelajar yang ramai, dikhuatiri para guru dan sekolah menghadapi tekanan dalam menggalas peranan mereka. Sungguhpun sekolah sedia ada masih terasing antara satu dengan lain, institusi sekolah gagal mengawal keruntuhan disiplin pelajar mereka. Pendidik pula perlu menyiapkan diri mereka dari segi mental dan kerohanian. Jika pendidik tidak mempunyai ketahanan kendiri yang kuat, konsep sekolah wawasan tidak akan berjaya.
ii)                  Bahasa pengantar yang berbeza
Tidak dapat dinafikan bahawa kurikulum sekolah memainkan pernan dominan dalam membentuk nilai teras dalam kalangan pelajar dan nilai ini kemudiannya boleh diterapkan ke dalam kehidupan alam dewasa (Tan, 1957. hal. 45). Namun, penyeragaman kurikulum tanpa penyeragaman bahasa pengantar dijangka tidak dapat mendatangkan impak integrasi nasional yang diharapkan. Hal ini membangkitkan persoalan tentang kepentingan penggunaan satu bahasa yang sama bagi memupuk integrasi nasional.
4.4.            Sekolah Bestari
Sekolah bestari menerapkan komputer dan teknologi dalam kaedah pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah dalam menyiapkan murid menghadapi cabaran zaman maklumat. Ia merupakan salah satu projek daripada tujuh Flagship Applications dalam Koridor Raya Multimedia (Mok, 2012. hal. 28).
Kebaikan Sekolah Bestari
i)                    Melahirkan masyarakat yang celik IT (Information Technology) pada masa hadapan
Sebagai salah satu negara yang sedang membangun, inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran untuk menubuhkan sekolah bestari merupakan salah satu langkah positif dalam usaha mencapai Wawasan 2020 ke arah masyarakat yang celik IT. Sistem pendidikan yang mengaplikasikan teknologi dalam pembelajaran ini diharap dapat menggalakkan lagi penggunaan teknologi-teknologi moden yang sedia ada. Sebagai contoh, penggunaan komputer riba, alat pandang dengar (APD) dan internet di dalam kelas dapat memberi impak yang besar kepada pelajar-pelajar untuk memahirkan diri dalam mengendalikannya. Malah, guru-guru berpeluang untuk menghadiri kursus-kursus ICT untuk membolehkan atau menjayakan konsep Sekolah Bestari ini. Penubuhan sekolah bestari juga dapat merapatkan jurang antara sistem pembelajaran di sekolah bandar dan luar bandar.
ii)                  Menarik minat pelajar untuk menerokai ilmu pengetahuan
Dengan penyediaan pelbagai jenis prasarana dan kemudahan oleh Kementerian Pelajaran ditempatkan di sekolah-sekolah bestari ini, para pelajar akan berpeluang untuk menerokai dunia pembelajaran mereka dengan pendekatan lebih kreatif. Ini dapat memupuk minat pelajar untuk mempelajari pelbagai bidang ilmu. Bahan-bahan P&P tidak lagi terhad kepada buku teks dan nota dari guru, ianya boleh merangkumi sumber-sumber lain yang terdapat di alam maya. Selain itu, pengajaran akan menjadi lebih berkesan, kondisi pembelajaran menjadi lebih menarik, dan pelajar akan lebih bermotivasi selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Melalui cara ini, kebolehan, minat, dan keperluan pelajar dapat dikenal pasti mengikut keperluan dan individu.
iii)                Memudahkan urusan pelbagai pihak
Sekolah bestari juga dapat dilihat sebagai pemudah cara kepada segala urusan. Misalnya, para guru dapat mencari pelbagai bahan untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran secara tersusun dan sistematik. Ini memudahkan tugas dan mengurangkan bebanan guru-guru berbanding dengan sistem tradisional. Begitu juga halnya dengan operasi sekolah, kakitangan sekolah tidak lagi perlu mengeluarkan surat atau menghubungi ibu bapa pelajar untuk memaklumkan mengenai apa-apa aktiviti. Segala maklumat berkaitan persekolahan boleh dikemaskini dan didapati di laman sesawang sekolah. Perubahan ini bukan sahaja menjimatkan wang malah menjimatkan masa. 
iv)                Meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia
Pelbagai prasarana dan kemudahan yang lengkap bagi memastikan proses P&P berjalan lancar dilihat dapat meningkatkan taraf pendidikan Malaysia dan bersaing dengan negara-negara membangun yang lain. Contohnya, jika dahulu para guru menggunakan papan hitam sahaja untuk menyampaikan maklumat, kini ia menjadi lebih cepat dengan adanya ICT.  Pelbagai jenis maklumat boleh disampaikan dengan mudah, cepat dan padat.
Keburukan Sekolah Bestari
i)                    Kos yang tinggi
Untuk mewujudkan konsep Sekolah Bestari ini, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan sejumlah peruntukan yang begitu besar. Malah, pelaksanaan sekolah bestari ini tidak dapat dijalankan serentak tetapi dijalankan secara berperingkat. Sebagai permulaan, hanya sedikit sahaja komputer disediakan menyebabkan para pelajar terpaksa bergilir-gilir menggunakannya.
ii)                  Tidak sistematik
Dalam satu mata pelajaran, penggunaan komputer terhad kepada 30 hingga 40 minit, sebanyak satu kali dalam seminggu. Ini disebabkan semua mata pelajaran harus bergantung kepada satu komputer dan APD yang sama di dalam kelas. Sekiranya peralatan-peralatan tersebut rosak, semua pihak akan terkesan. Bahkan, pihak sekolah akan mengambil masa yang lama untuk membaiki atau menggantikan peralatan-peralatan tersebut. Disebabkan itu, jelas kelihatan ketidakberkesanan sistem sekolah bestari yang ingin diketengahkan.


5.      KESIMPULAN
Sistem pendidikan Malaysia pada hari ini menunjukkan variasi pada aliran pendidikan negara. Kepelbagaian ini tidak dapat mencapai matlamat ke arah pembentukan satu bangsa mahupun perpaduan kaum. Skop pendidikan sepatutnya tidak terhad kepada penyaluran ilmu kepada masyarakat semata-mata tetapi sebagai elemen penyatupaduan kaum. Pendidikan yang dimaksudkan di sini adalah pendidikan yang bermula seawal mungkin; seboleh-bolehnya semasa mereka kanak-kanak lagi agar mereka mudah menerima dan membiasakan diri dengan keadaan persekitaran. Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Melalui pendidikan, kita dapat mencorak jiwa anak-anak Malaysia akan erti perpaduan.
Kerajaan harus memainkan peranannya dalam membantu usaha untuk penyatuan kaum melalui pendidikan. Dasar Pendidikan Negara harus dikaji semula kerelevanannya agar ia tidak menjadi misi yang tidak berjaya disempurnakan seperti yang terjadi kepada sekolah wawasan. Pemerkasaan sekolah kebangsaan sebagai sekolah untuk semua bangsa adalah suatu langkah yang bijak. Cuma, kerajaan perlu meneliti beberapa elemen yang longgar seperti sukatan pelajaran yang agak ketinggalan, kemudahan prasarana yang tidak lengkap, keberkesanan pengekalan budaya dan warisan kaum minoriti dan sebagainya. Oleh itu, pandangan masyarakat terhadap sekolah kebangsaan sebagai sekolah Melayu boleh terhakis.
Kesimpulannya, dengan kewujudan sekolah satu aliran ini, perpaduan rakyat Malaysia boleh dicapai. Kita boleh dikenali sebagai negara yang mempunyai identiti nasional yang paling utuh sekali sebaris negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Jepun.





BIBLIOGRAFI
Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan pendidikan di Malaysia. Pahang, Malaysia: PTS Publications & Distributor Sdn Bhd.
BERNAMA (2015, November 23). Mana lebih baik, sekolah swasta atau sekolah kebangsaan? BH Online. Diambil dari http://www.bharian.com.my/node/99324
Kementerian Pendidikan Malaysia. Sistem pendidikan Malaysia. Diambil dari http://www.moe.gov.my/my/sistem-pendidikan
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Tentang Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Diambil dari http://www.mohe.gov.my/korporat/tentang-kami
Ku Seman Ku Hussin (2009, Januari 11). Sekolah satu aliran asas perpaduan. Utusan Online.  Diambil dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Mohd Azraie Md. Yusof & Siti Rohaizah Zainal (2014, Oktober 6). Sekolah satu aliran mampu bentuk perpaduan. Utusan Online. Diambil dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20141006/re_09/Sekolah-satu-aliran-mampu-bentuk-perpaduan
Mohd Firdaus Ahmad (2012). Pendidikan di Malaysia. Melaka, Malaysia: Penerbit Eka.
Mok, Soon Sang (2012). Falsafah dan pendidikan di Malaysia (Edisi ketiga). Selangor, Malaysia: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
Muhammad Arif Mohd Hashim (2015, Oktober 3). Bentuk identiti nasional sejak di sekolah. BH Online. Diambil dari http://www.bharian.com.my/node/86031
Sufean Hussin (2004). Pendidikan di Malaysia. Sejarah, sistem dan falsafah (Edisi Kedua). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Tan, Yao Sua (2010). Isu bahasa, etnik dan pembinaan negara bangsa dalam sistem pendidikan Malaysia. Pulau Pinang, Malaysia: Universiti Sains Malaysia.

Weight Loss Center - Your Online Weight Loss Support Group